Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Khamis, 17 September 2009

SALAM AIDILFITRI KEPADA SEMUA

BERLALUNYA Ramadan pasti ditangisi mereka yang bertakwa. Untuk mereka yang berjaya menjalani ibadat puasa, Allah SWT menganugerahkan hari raya supaya mereka bergembira meraikan kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan puasa.

Pada hari raya, umat Islam lelaki dan perempuan disunatkan mengerjakan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah, membanyakkan takbir dan tahmid memuja dan memuji nama Allah SWT.

Sememangnya kita berhak dan patut berasa gembira kerana berjaya melepasi ujian pada bulan Ramadan, tetapi kegembiraan itu haruslah disulami dengan keindahan peribadi yang baik.

firman Allah yang bermaksud: ...hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, semoga kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185).

Selain bertakbir, kita juga disunat menghidupkan malam raya dengan ibadat lain seperti tilawah al-Quran, solat, tasbih dan istighfar. Pastikan masjid dan surau tidak lengang persis warga kota meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menghidupkan malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati. "(Riwayat Ibn Majah).

Kepada kawan-kawan yang berada di UKM atau dimana sahaja,salam Aidilfitri diucapkan.Semoga sambutan Aidilfitri kali ini disambut dengan takbir dan tahmid dan dapat memberi kesempatan kepada kita untuk bermaaf-maafan bersesuaian dengan Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, "tidaklah dua orang Islam bertemu saling bersalaman dan berjabat tangan melainkan diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.

Selasa, 15 September 2009

MUHASABAH RAMADHAN

Terlalu banyak kelebihan Ramadan yang boleh kita semua insafi. Sifat bersedekah, memberi serta menginsafi akan keperitan orang lain akan sentiasa menjadi tema Ramadan.

Justeru, semangat Ramadan seharusnya mendorong kita supaya berfikir ke arah perubahan diri yang fitrah.

Pada bulan ini, Allah melimpahkan kasih sayangnya pada kaum Mukmin. Allah mengajar kita akan erti lapar dan dahaga supaya menginsafi penderitaan golongan fakir dan tumbuh rasa sayang pada mereka yang sentiasa bersahabat dengan lapar dahaga.

Pada bulan ini jugalah, sifat keinsafan dan kasih sayang sesama manusia dizahirkan dengan perbuatan sedekah dan zakat fitrah. Membantu meringankan beban dan kesusahan orang yang memerlukan menjadikan seseorang itu bersyukur dengan rezeki yang diterimanya.

Bayangkan juga kegembiraan orang yang dibantu. Di kala dalam kesusahan dan keperitan, masih terdapat lagi golongan yang mengambil berat akan kebajikan mereka.

Allah telah mendidik hati dan nafsu untuk mengunci diri daripada melakukan perbuatan dan amalan yang tidak baik. Manusia secara tidak langsung dididik menjadi komited dan amanah terhadap tanggungjawab.

Apakah yang mendorong manusia untuk menahan lapar dan tidak curi-curi makan atau tidak melakukan perbuatan yang tidak baik pada bulan Ramadan? Tentulah kerana dalam fitrah remaja itu sendiri mempunyai asas iman, memegang amanah dan mempunyai ketakwaan kepada Allah.

Jika asas-asas fitrah ini tiada, bayangkan betapa banyak kerosakan yang boleh dilakukan dalam segi yang lain. Jika ini diterjemahkan dalam kehidupan seorang remaja, tentulah ia akan melahirkan generasi yang rosak akhlak serta tidak beramanah.

Kualiti manusia bukan sahaja diukur daripada ketinggian ilmu pengetahuannya serta darjatnya semata-mata, tetapi sejauh mana keikhlasan terhadap amanah yang diberikan kepadanya serta ketakwaan kepada Allah. Maka inilah yang dikatakan mencapai matlamat puasa yang sebenarnya, iaitu meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Oleh itu, bermuhasabahlah kita seusai Ramadan. Kita bakal selesaikan 30 hari yang penuh dengan ibadat dan kesucian. Kita akan tinggalkan bulan yang bukan sahaja dipenuhi ibadah kepada Allah, tetapi juga bulan ketika kita menaburkan kasih sayang sesama hamba Allah yang lain.

Semangat Ramadan harus mampu membina azam dan tekad yang tinggi dalam diri setiap muslim untuk kembali kepada fitrah diri iaitu kembali kepada kehidupan yang baik dan sempurna dalam lingkungan adab dan syarak.

Sabtu, 12 September 2009

PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA

Percayakah anda ketika anda berpuasa anda masih boleh melakukan hal-hal berikut?

Anda tidak perlu risau untuk berendam di dalam kolam sepanjang waktu di siang hari ketika Ramadan kerana ia tidak makruh dan tidak membatalkan puasa. Lihatlah riwayat hadis yang sahih ini. Seorang sahabat berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa, kerana dahaga atau kepanasan”. (Riwayat Abu Daud: 2365, disahihkan oleh Sheikh Nasiruddin Al-Bani di dalam Sahih Sunan Abu Daud)

Anda boleh makan walaupun waktu Imsak telah masuk iaitu lebih kurang 10 minit sebelum waktu subuh. Anda hanya perlu berhenti makan apabila diyakini telah masuk waktu subuh. Rasulullah bersabda: “Fajar ada dua jenis, fajar yang apabila ia tiba, haram untuk makan dan dibolehkan melakukan solat (fardu subuh) dan fajar yang apabila ia tiba, kamu tidak dibolehkan melakukan solat (solat subuh) dan dibolehkan makan.” (riwayat Al-Hakim dan Ibn Khuzaimah).

Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-187 yang bermaksud: Makan dan minumlah kamu sehingga benang putih (waktu fajar) berpisah daripada benang hitam (malam).

Di dalam hadis sahih, Rasulullah bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Umm Maktum mengumandangkan azan.”

Ia sangat baik dan dituntut di dalam agama kita untuk makan di waktu akhir-akhir bersahur berdasarkan hadis yang berikut iaitu, Rasulullah SAW bersabda “Umat aku akan sentiasa kekal dalam keadaan bersederhana dan sempurna selagi mana dia mempercepatkan berbuka dan memperlambatkan sahur.”

lSekiranya anda telah meyakini bahawa telah masuk waktu subuh dan ada lagi makanan atau minuman yang tinggal di dalam mulut anda. Anda boleh menelan dan menghabiskannya tanpa perlu dikeluarkannya dari mulut anda.

Anda tidak perlu melafazkan niat seperti Nawaitu Sauma Ghadin… kerana Nabi Muhammad S.A.W. tidak pernah mengajarkannya. Niat itu tempatnya di hati. Apabila anda bangun sahur, ia membuktikan anda sudah berniat untuk berpuasa. Jika tidak, buat apa anda hendak bangun bersahur.

Anda harus makan dahulu makanan dan minuman sekiranya makanan telah dihidangkan sebelum pergi solat Maghrib. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh- gapah ketika makan malam kamu.” (Muttafaq ‘Alaih, lihat Sahih al-Bukhari: 31).

Anda boleh menggunakan wangi-wangian, memakai kanta sentuh atau menggunakan ubat titik ke dalam mata.

Anda dibenarkan untuk mengambil suntikan yang bermotifkan untuk rawatan dan perubatan. Bukannya suntikan yang mengambil peranan makanan dan minuman iaitu suntikan untuk memberikan tenaga dan kekuatan kepada anda.

Sekiranya anda tertidur di siang hari dan bermimpi yang menyebabkan keluar air mani, ia tidak membatalkan puasa.

Anda boleh berciuman dengan suami atau isteri anda ketika berpuasa, tetapi anda perlu mengelakkannya supaya tidak membawa kepada benda yang diharamkan di dalam bulan Ramadan iaitu hubungan kelamin.

Maklumat di atas disebut oleh para ulama seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam Fiqh as-Siyam, Ibn Hazm, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Ibn Uthaymin dan lain-lain.

Khamis, 10 September 2009

MENELADANI FASA AKHIR RAMADHAN NABI S.A.W

ALANGKAH cepatnya masa berlalu, ketika kita mula merasakan seronok melaksanakan ibadah, Ramadan semakin hampir menutupkan tirainya. Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah saat di mana Rasulullah SAW meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya.

Berlalunya sebahagian besar dari hari-hari Ramadan sewajarnya menimbulkan kecemasan kepada kita. Apakah selama 20 hari kita berpuasa benar-benar telah menjadikan kita manusia yang bertakwa atau sebaliknya?

Ramadhan menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.

Pertama; jika setiap hamba benar-benar seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Kedua; yakin dengan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)

Demikianlah amalan dan sunnah Rasulullah SAW yang seharusnya diikuti. Kegagalan menghayati dan mengamalkan sunnah inilah yang akhirnya menyebabkan umat seringkali terjerumus ke dalam kancah kecelakaan dan masalah yang tidak berkesudahan.Mudah-mudahan dengan pengamalan sunnah Rasuluallah SAW akan dapat menghindarkan kita daripada amalan-amalan bid'ah yang sesat...

Isnin, 7 September 2009

GAYA HIDUP SIHAT SEPANJANG RAMADHAN

KUALITI hidup adalah apabila kita dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan daripada penyakit atau kecederaan. Hidup berkualiti juga bermaksud kita dapat menjalankan kehidupan seharian tanpa halangan penyakit atau faktor yang boleh menyebabkan penyakit atau kecederaan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengambilan makanan secara berlebihan daripada keperluan kalori yang sepatutnya, boleh mengundang penyakit.

Tenaga daripada sumber makanan yang dikenali sebagai kalori ini, jika berlebihan dan tidak digunakan maka ia nya akan ditukar menjadi lemak dan disimpan di dalam tisu-tisu badan kita seperti di pembuluh darah, organ-organ dalaman seperti jantung dan bahagian-bahagian badan tertentu terutama di bahagian lengan, pinggang, pinggul atau paha.

Ramadan mengajar kita untuk merancang dan mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan mengikut keperluan seharian kita.

Makanan yang tidak diambil sepanjang hari-hari berpuasa dapat mengurangkan kalori yang berlebihan pada hari-hari kita tidak berpuasa.

Sumber tenaga untuk aktiviti sistem badan dan harian kita hanya dibekalkan oleh sumber makanan yang diambil semasa sahur dan sumber simpanan lemak kita.

Justeru itu, pengurangan berat badan boleh direalisasikan sepanjang Ramadan ini sekiranya kita tidak mengambil makanan secara berlebihan semasa berbuka puasa di samping meneruskan aktiviti fizikal seperti bersenam dan beriadah seperti hari-hari biasa.
Related Posts with Thumbnails

Demi Masa