Khamis, 25 Februari 2010

YAKINLAH TENGTANG KEBENARAN ISLAM

Ketika baginda SAW memulakan dakwahnya di Mekah, kaum musyirikin Quraisy membalas dengan tindakan yang agak kasar dan ganas, termasuklah mencipta pelbagai bentuk azab bagi menyiksa orang-orang beriman. Namun, segala usaha mereka tidak berhasil, kerana mereka bukan berhadapan dengan manusia biasa, tetapi manusia yang memiliki jati diri keimanan yang teguh, yang lebih rela nyawa mereka melayang sebelum iman mereka runtuh. Para sahabat mampu bertahan kerana mereka memiliki iman dan keyakinan yang kental.

Siapa yang tidak kenal Bilal bin Rabah RA, yang sanggup bersabung nyawa menanggung azab sengsara ketika beliau ditindih dengan bungkah batu raksasa di atas ramda yang merah menyala dan di bawah sinaran matahari yang panas membara. Bilal tidak berhenti daripada menyebut khalimah yang membakar kemarahan para penyiksanya, “Ahadun Ahad”, “Ahadun Ahad”. Alangkah mudahnya bagi Bilal, jika beliau ingin menyelamatkan diri daripada siksaan itu, beliau hanya perlu berpura-pura menjadi kafir sementara. Tetapi, Bilal tidak tergamak melakukannya, kenapa? Kerana beliau merasa amat rugi jika melepaskan kemanisan iman yang sedang beliau kecapi. Mana mungkin orang yang sedang menikmati kelazatan iman akan melepaskan kelazatannya. Mana mungkin orang yang pernah merasai kepahitan kekufuran akan kembali merasainya.

Demikian juga Ammar, Yasir dan Sumaiyyah RA, satu keluarga yang telah menjual nyawa mereka untuk membeli iman, sehingga gugurlah siibu Sumaiyyah sebagai wanita syahid pertama. Demikian pula kisah Khubaib bin Adiyy RA, yang telah ditawan oleh golongan musyirikin ketika beliau hendak berhijrah, lalu beliau dibawa balik semula ke Mekah. Khubaib meletakkan syarat ke atas dirinya untuk mati dalam iman, dan dengan syarat itu, beliau tidak peduli lagi bial, di mana dan bagaimana beliau akan dikorbankan.

Demikian juga Abu Salamah RA, yang tidak membatalkan hasratnya untuk berhijrah, meskipun isterinya dirampas dari tangannya, dan meskipun tangan anaknya direntap putus dihadapannya. Demikianlah juga Suhaib ar-Rumi RA, yang menawarkan seluruh hartanya kepada kaum musyirikin, semata-mata kerana ingin menyertai Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Demikianlah betapa hebatnya iman bila telah menembusi hijab hati manusia, tiada apa lagi yang boleh menukar gantinya. Mereka diberi tawaran samada memilih nyawa tanpa iman atau memilih iman tanpa nyawa, lalu mereka memilih iman tanpa mempedulikan nyawa mereka. Sabda Rasuluallah SAW, maksudnya:

“Ada seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah digali lubang untuknya, kemudian dia ditanam di dalamnya, lalu digergaji kepalanya sehinggakan terbelah dua, namun yang demikian itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya. Ada pula yang disikat dengan penyikat besi sehinggakan pecah tulang dan urat sarafnya, tetapi semua itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya” (Riwayat Bukhari).

Justeru, setiap muslim mesti yakin dengan pengangan agamanya sebagaimana juga generasi umat islam yang terawal menyakininya. Dengan kenyakinan yang mantap itu, maka dia pasti akan dapat meneguhkan jati dirinya untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman dan dugaan.

Selasa, 2 Februari 2010

PEGANGAN SALAF PENENTU KESAHIHAN AMALAN

Seluruh umat Islam dituntut supaya berpegang dengan dua dasar agama, iaitu : Al-Qur'an dan As-Sunnah, namun, berpegang dengan dua dasar ini sahaja tidak memadai sekiranya tidak disusuli atau disertai oleh dasar ketiga iaitu: hendaklah Al-Qur'an dan As-Sunnah itu difahami mengikut kefahaman salaf. Telah menjadi kebiasaan bagi setiap golongan yang mengaku islam bahawa mereka mendakwa akan menjadikan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai dasar utama mereka.Malangnya,mereka tidak menyedari bahawa dasar yang mereka letakkan itu tidak membawa apa-apa erti jika ia tidak disertai dasar mengikut kefahaman salaf.

Realiti sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu kesesatan yang berlaku bukan kerana penolakan terhadap Al-Qur’an dan As-Sunnah semata-mata, tetapi hakikatnya ia disebabkan tidak adanya dasar ikutan terhadap kefahaman salaf dalam memahami maksud kedua-dua sumber berkenaan. Tidak ada satu pun golongan sesat yang muncul dari kalangan umat islam semenjak dari dahulu sampai sekarang yang mendakwa mereka tidak berpegang dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Puak-puak seperti Khawarih, Syiah, Muktazilah, Qadyani, Bahai, Islam Liberal, Sekular dan pendukung tarekat tasauf sesat, semuanya mendakwa berpegang dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah, tetapi kenapa mereka sesat?

Puak Qadyani misalnya mendakwa beriman dengan Al-Qur’an, tetapi kenapa mereka menolak kewujudan makhluk jin yang disebut oleh Al-Qur’an? Jawapanya ialah kerana mereka mentafsirkan perkataan jin yang ada dalam Al-Qur’an itu dengan maksud segolongan manusia, sedangkan tafsiran itu terpesong jauh daripada tafsiran yang difahami oleh generasi salaf.
Begitu juga dengan puak Islam Liberal, kenapa mereka menghalalkan wanita menjadi imam solat jumaat dan mendedahkan aurat? Adakah kerana mereka menolak Al-Qur’an dan As-Sunnah? Tidak,bukan kerana itu, tetapi kerana mereka memahami nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah itu mengikut kefahaman mereka sendiri tanpa merujuk kepada kefahaman generasi salaf. Demikian juga dengan pendukung fahaman Tasauf Falsafah seperti Wahdatul Wujud, Martabat Tujuh, Haqikat Muhammadiah dan sebagainya, mereka menjadi sesat kerana mereka tidak mengukur fahaman mereka itu kepada pengangan jenerasi salaf.

Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya dalam banyak perkara kita telah pun mengikut penganagn salaf, seperti tidak mendahulukan khutbah ke atas solat Hari Raya, tidak menunaikan solat sunat rawatib dan solat sunat istikharah secara berjemaah, tidak berdoa secara serentak beramai-ramai sebelum solat fardu dan tidak melaungkan azan dan iqamah untuk solat Hari Raya, solat istsisqa’ dan solat jenazah. JIka alasan bagi semua alasan itu ialah kerana kita mengikut cara dan amalan generasi salaf, maka demikianlah juga dalam amalan kita yang lain hendaklah kita aplikasikan alasan yang sama. Dengan perkataan lain, mana-mana amalan yang menyalahi salaf kita tolak dan mana-mana yang menepatinya kita ikut supaya kita dapat mengawal diri kita daripada kemungkinan terpesong atau tersesat.

Berdasarkan hakikat ini, maka dapat disimpulkan bahawa dasar ketiga ini, iaitu dasar memahami al-Qur’an dan As-Sunnah mengikut kefaham dan pengangan salaf antara dasar pengting yang menentukan betul atau salah sesuatu pengangan dan amalan setiap umat islam, di samping ia juga adalah pembeza ajaran Islam sebenar daripada pelbagai ajaran sesat, khurafat dan bid’ah yang berleluasa di kalangan umat islam.
Related Posts with Thumbnails

Demi Masa