Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Khamis, 27 Ogos 2009

PESTA BOLOT PAHALA

PADA bulan suci Ramadan, inilah peluang kita untuk beribadat terbuka dengan seluas-luasnya. Misalnya dengan menghidupkan setiap malam dengan mengerjakan solat tarawih, bertadarus al-Quran, menjamu hidangan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, melakukan kerja-kerja khidmat bakti masyarakat dan sebagainya.

Sekecil mana sekalipun amal yang kita lakukan pada bulan suci ini akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

Bulan Ramadan adalah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Apa tidaknya, dosa-dosa yang dilakukan akan mendapat keampunan dari Allah bagi hamba-Nya yang melakukan ibadah pada bulan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta pengharapan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah maka diampunkan bagi-nya segala dosa yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam bulan ini juga kita perlu memperbaharui dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melipat gandakan amal ibadat kepada Allah supaya hubungan kita dengan Allah bertambah teguh dan semakin halus pula perasaan kemanusiaan kita terhadap sesama insan, sehingga melahirkan amal kebaikan yang bermanfaat dalam suasana aman dan tenteram. Dengan sifat mulia yang ditunjukkan maka penghidupan sesama insan bertambah harmoni dalam suasana keselesaan dan saling rasa prihatin.

Allah SWT juga menetapkan ibadah puasa pada bulan Ramadan dengan matlamat untuk memupuk dan melahirkan sifat rahmah ke atas setiap insan. Sifat ini dapat diserapkan ke dalam hati apabila umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah puasa bersama-sama merasakan keperitan dan kemelaratan orang lain dalam mengharungi perjuangan puasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta melawan hawa nafsu.

Oleh itu hendaklah kita merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan sempurna dan penuh keikhlasan.

Rabu, 19 Ogos 2009

SELAMAT DATANG RAMADAN

RAMADAN dan sinarnya kembali bertandang menemui sekalian hamba kalangan umat Islam. Bulan setiap hamba diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.

Pada bulan ini setiap hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, amalan diterima dan doa-doa diperkenankan.

Tatkala mengingatkan imbauan silam saat junjungan besar Rasulullah SAW dan para sahabat amat girang serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun, terdetik persoalan di manakah kita dalam meneladani dan menghayati Rasulullah SAW di madrasah Ramadan yang penuh keberkatan ini?

Bulan dan detik-detik yang sarat dengan kebaikan, peluang sisa umur yang sangat indah sebelum terlena kerana adakah masa yang paling indah daripada Ramadan untuk melakukan munajat kepada Allah dengan berdiri menghadap Rabb al-Izzati sambil mendengar alunan ayat-ayat-Nya yang menghiasi pendengaran, membersihkan hati dan menambahkan keimanan dalam diri?

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Khamis, 13 Ogos 2009

1MALAYSIA : TERIMA KASIH DATO' SERI NAJIB

Sesebuah negara yang majmuk seperti Malaysia amat memerlukan pelbagai konsep dan formula penyatuan rakyat jelatanya ke arah pembinaan satu negara bangsa yang kukuh, muafakat, progresif dan makmur.

Konsep seperti ini juga diperlukan supaya generasi merdeka Malaysia mempunyai aspirasi yang serupa, melangkah ke destini yang sehala, dan sentiasa megah untuk mengibarkan panji-panji perjuangan negara pada setiap masa.

Pengaplikasian konsep ini memerlukan komitmen, kebijaksanaan dan ketegasan di kalangan pemimpin. Ia menuntut kematangan minda, toleransi dan pengorbanan di kalangan warga.

Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia sebaik-baik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009 yang lalu.

Ia adalah konsep pembangunan negara bangsa Malaysia yang mencerminkan kesungguhan Perdana Menteri yang sentiasa berusaha untuk menyatupadukan warganegara majmuk.

Ia bermatlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional yang kemudiannya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa.

Ciri-ciri kekuatan nasional ini juga boleh digunakan untuk mencorak dan melaksanakan program pembangunan insan, pembangunan negara dan pembangunan ekonomi, di samping memperkasakan keupayaan Malaysia menembusi aneka peluang serta aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Ini membuktikan bahawa konsep 1Malaysia sekali-kali tidak serupa dengan Malaysian Malaysia ciptaan Lee Kuan Yew pada awal tahun 1960-an yang kini dijadikan asas perjuangan sesetengah parti politik tertentu di negara ini.

Sebaliknya, konsep 1Malaysia membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan Perdana Menteri untuk memberikan erti yang seluas-luasnya kepada doktrin Rukun Negara yang diilhamkan oleh ayahanda beliau, iaitu Allahyarham Tun Razak Hussein, pada tahun 1970.

Sebagai rakyat malaysia yang cintakan keamanan dan perpaduan, semestinya kita merasa bangga dan 'gah' dan ingin melihat konsep ini dijayakan sepadan dengan matlamatnya.

Jumaat, 24 April 2009

DOA MOHON DICUKUPKAN KEPERLUAN

Firman Allah yang bermaksud: Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai arasy yang besar. (at-Taubah: 129)

Keterangan ayat

Menurut Ibn Abi Hatim, perkataan arasy dalam al-Quran merujuk kepada tempat yang tinggi yang dijadikan Allah. (Tafsir Ibn Abi Hatim, tafsir ayat 129 surah at-Taubah)

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW sering berdoa menyeru Allah yang memiliki arasy yang hebat ketika menghadapi keadaan kritikal.

Abu Daud dan Ibn al-Sunni meriwayatkan daripada Abu Darda' r.a secara mauquf bahawa Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang membaca ayat ini pada waktu pagi dan petang sebanyak tujuh kali, maka Allah akan mencukupkan semua urusan dunia dan akhiratnya. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 129 surah at-Taubah)

Khasiat dan kaifiat beramal

Amalan membaca ayat ini sudah lama dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Mudah-mudahan kita dapat mengamalkan ayat yang pendek ini untuk mendapat keselamatan daripada Allah SWT.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA(BICARA AGAMA) 22/04/2009

Ahad, 5 April 2009

JOM KURANGKAN BERAT BADAN

MONTEL, gemuk gempal, gendut atau apa-apa saja gelaran yang diberi, apa yang pasti 'fenomena' berat badan berlebihan merupakan masalah yang melangkaui sempadan agama, bangsa, warna kulit mahupun negara.

Gemuk bukan sekadar menjejaskan penampilan diri malah lebih mustahak ia kerap dikaitkan dengan masalah kesihatan terutama apabila berat badan mencapai tahap obesiti.

Masalah tersebut amat berkait rapat dengan gaya hidup terutama dari segi tabiat pemakanan yang tidak sihat sehingga mendorong kepada timbulnya frasa baru 'mati bukan kerana tak makan tapi mati kerana terlebih makan'.

Begitu pun hasil kajian terbaru oleh sekumpulan penyelidik di Britain baru-baru ini, mungkin membuat sebahagian daripada mereka yang menghadapi masalah tersebut mula memeriksa semua tabiat pemakanan mereka atau berkira-kira untuk mendaftar di mana-mana gimnasium atau pusat kecergasan.

Ini kerana, hasil kajian oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Oxford itu mendapati risiko obesiti sama bahayanya dengan merokok iaitu boleh memendekkan jangka hayat hidup seseorang.

Jadi tunggu apa lagi,jomla kurangkan berat badan!

Sabtu, 28 Mac 2009

KATAKAN TIDAK KEPADA IKAN BUNTAL

Kita sememangnya pernah mendengar Nama Fugu dan bok-uh,ianya merupakan salah satu hidangan istimewa di Jepun dan Korea.Tahukah kita semua bahawa hidangan tadi adalah diperbuat daripada ikan buntal.

Saya pernah terbaca satu artikel yang menyatakan bahawa Ikan buntal atau nama saintifiknya, Tetraodontidae mempunyai empat gigi besar, tertanam pada 'gusi' atas dan bawah yang digunakan untuk menghancurkan cengkerang mangsanya seperti krustasia, moluska dan cacing merah.

Kulit dan organ dalamannya seperti ovari, hati, usus, tisu otot dan darah pula mengandungi neurotoksin dipanggil tetrodotoksin yang membawa maut kepada manusia. Racun tersebut melumpuhkan otot mangsa dalam keadaan sedar dan akhirnya mati akibat asfiksia.Menurut pakar racun yang terdapat dalam seekor ikan buntal boleh membunuh kira-kira 30 orang dewasa.

Oleh itu saya ingin mengigatkan kepada rakan-rakan semua agar tidak makan ikan buntal,biarpun ianya telah memakan umpan kail kita tetapi kita tetap tidak memilihnya untuk menjadi santapan kita.

Agama islam melarang keras penganutnya melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri.Jadi.......KATAKAN TIDAK KEPADA IKAN BUNTAL

Selasa, 24 Mac 2009

KERANG REBUS......!!

Pada suatu hari, seekor anak kerang di dasar laut telah mengadu dan mengeluh kepada ibunya kerana sebutir pasir tajam telah memasuki tubuhnya yang merah dan lembik.

"Anakku...Allah tidak menganugerahkan kepada kita, bangsa kerang, sebuah tangan pun sehingga Ibu tak dapat menolongmu", kata sang ibu sambil bercucuran air mata.

Si ibu terdiam sejenak.

"Aku tahu bahawa itu sakit anakku. Tetapi terimalah itu sebagai takdir alam. Kuatkan hatimu. Kerahkan semangatmu melawan rasa perit yang menggigit. Balutlah pasir itu dengan lendirmu. Hanya itu yang mampu kau lakukan", kata ibunya dengan sendu dan lembut.

Anak kerang pun mengikut nasihat bondanya. Hari demi hari berlalu, ia terus bertahan dan mengeluarkan lendir untuk mengurangkan rasa sakit itu. Lapisan lendir semakin membesar dan rasa sakit pula semakin berkurang.

Suatu ketika rasa sakit itu hilang sama sekali, dan kerang itu menjadi kerang yang luar biasa. Ia menjadi sangat berharga. Kerana ia memiliki sebutir mutiara yang besar, kukuh berkilat dan sangat indah.

Semuanya bermula dari sebuah penderitaan. Penderitaannya berubah menjadi mutiara, air matanya yang mengalir bertahun-tahun lamanya itu, berubah menjadi begitu berharga.

Dirinya kini, lebih berharga daripada sejuta kerang lain yang cuma disantap orang sebagai kerang rebus di pinggir jalan !
Related Posts with Thumbnails

Demi Masa