Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selasa, 11 November 2008

Bersama Menghayati Ibadah Haji

IBADAH haji mengembalikan kenangan kepada masa hampir 50 abad (5,000 tahun) yang lampau, iaitu Nabi Ibrahim, bapa segala nabi. Bukankah dia yang telah menghabiskan segenap umurnya untuk mengabdi kepada Tuhan, berpindah dari satu daerah ke suatu daerah dari Mesopotamia sampai ke Palestin, terus ke Mesir dan dengan berpusat di tanah suci Mekah, dia meninggalkan bekas kenangan yang paling luhur yang tetap menjadi sejarah agung hingga sekarang. Ditinggalkan isterinya Hajar bersama puteranya Ismail di tanah tandus yang tidak berair itu, sehingga tersemburlah air zamzam untuk memberi minum mereka. Dia kembali, diperintah Tuhan menyembelih puteranya Ismail, dilakukannya dengan penuh keikhlasan. Maka diganti Tuhan dengan haiwan (kambing) yang dijadikan korban sembelihan. Kemudian bersama puteranya Ismail yang juga kemudiannya diangkat menjadi nabi, dibangunkannya rumah Tuhan yang pertama di dunia, iaitu Baitullah yang menjadi kiblat kaum Muslimin hingga sekarang. Demikianlah, amal-amal ibadat dan kebajikan dahulu itu, hidup segar di hadapan mata dan kalbu setiap jemaah yang mengerjakan haji. Segala yang diperintah Tuhan untuk diikuti dan dilakukan, menjadi rukun dan amal haji.

Dalam hal ini, Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa dengan mengerjakan ibadah haji, seorang Muslim menunjukkan kerinduannya yang mendalam kepada Tuhan. Ditinggalkannya kampung halaman, anak isteri dan keluarga serta sahabat dan berangkat mengharungi lautan yang luas, daratan yang terbentang, menuju tanah suci dan rumah Tuhan (Baitullah), semata-mata untuk mengabdikan kepada Tuhan dan di dalam rohaninya tertanam keinginan untuk bertemu dengan Tuhannya. (Ihya' Ulumuddin, jilid I halaman 240).

Syeikhul Islam Ahmad bin Abdur Rahim Dahlawi pula mengatakan: Sering kali kerinduan manusia begitu memuncak, dia ingin melepaskan rindunya itu. Maka tiada jalan untuk memuaskan hati yang rindu kecuali dengan mengerjakan ibadah haji.

Dia mencuba menunjukkan rindunya kepada Tuhan di dalam sembahyang yang dilakukannya setiap hari, bahkan di tengah malam yang sunyi air mata kerinduannya menitis dengan khusyuknya dalam menyatukan jiwanya kepada Tuhan. Tetapi air mata yang kadang-kadang turun dengan deras itu, belumlah dapat melepaskan gelora rindu yang mendorong dan menyesak-nyesak dari dalam kalbunya. Bahkan banyak pula Muslim yang berhati rindu, tetapi tidak dapat melahirkannya di dalam amal sehari-hari, kerana kesibukan pekerjaan yang harus dihadapi, dan dia tidak dapat melepaskan diri daripada tugas-tugas hidup yang harus ditunaikannya, selama dia masih berada di negerinya.

Hanya ada satu jalan yang dibukakan Tuhan untuk mereka ini, iaitu tinggalkanlah kesibukan itu, lepaskanlah rindu terhadap Tuhan yang memenuhi jiwa itu, dengan berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji. Maka terubatlah segala kerinduan, terlepaslah sementara cengkaman kesibukan yang dilalui selama ini. Dan yang ada sekarang, di tanah suci ini, hanyalah anda dengan Tuhan, yang terus berhadapan dengan hati suci yang ikhlas, murni dan di tempat-tempat suci inilah Nabi Ibrahim pada hampir 50 abad yang lampau telah menempahkan keikhlasan yang sepenuh-penuhnya kepada Tuhan. (Hijjatullahil Balighah, jilid I hal. 59).

Kita bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana jemaah haji dari Malaysia meningkat dari setahun ke setahun. Apa yang kita harapkan pemergian mereka ini akan memperoleh haji mabrur. Lebih penting lagi kita berharap agar mereka dapat membawa cermin kemabruran itu ke dalam lingkungan masyarakat mereka: Di kalangan keluarga, jiran tetangga, sekampung, sekota, dan akhirnya seluruh tanah air.

Menurut ulama, haji mabrur adalah haji yang tidak dicampuri dengan dosa-dosa. Ini bermaksud bahawa kebajikan haji yang diperoleh mereka yang melakukannya telah membentengi diri mereka daripada maksiat dan dosa. Orang yang mendapat haji mabrur akan semakin kuat imannya serta makin meningkat amal ibadatnya. Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga justeru ia menjadi harapan setiap orang yang beriman. Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud; Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa di antara kedua-duanya. Dan haji mabrur ada balasannya iaitu syurga. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Kesedaran

Dalam ibadah haji yang menjadi ukuran mabrur atau tidak ialah dengan ukuran seberapa banyak amal ibadah haji yang telah dilakukan itu berupaya melahirkan suatu kesedaran moral dan spirituil yang dapat pula melahirkan semangat untuk melakukan perkara-perkara kebaikan sehingga berjaya mengubah diri daripada sikap negatif kepada sikap positif. Rasulullah bersabda yang bermaksud; Barangsiapa yang menunaikan haji di Baitullah kemudian tidak berkata keji dan tidak membuat kefasikan, maka dosa-dosanya dihapuskan sebagaimana hari yang dilahirkan oleh ibunya. Keampunan dosa hanya akan termakbul dengan memperoleh haji mabrur. Pendek kata, haji mabrur itu berkaitan dengan amal kebaikan yang dilakukan oleh para jemaah.

Disebutkan dalam sahih Muslim, bahawa Rasulullah ditanya tentang kebaikan. ``Baginda menjawab, akhlak yang baik.'' Ibnu Umar pula berkata, ``Sesungguhnya kebaikan merupakan sesuatu yang mudah, iaitu wajah yang berseri dan perkataan yang lembut.'' Perilaku seperti inilah yang seharusnya menjadi perhiasan seseorang ketika mengerjakan ibadah haji. Ia harus sentiasa menjalinkan hubungan sesama manusia dengan kata-kata dan perlakuan yang terpuji.

Rasulullah mengumpamakan ibadah haji sebagai satu jihad iaitu perjuangan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh demi mencari keredaan Allah Ummul Mukminin, Siti Aisyah, pernah menanyakan kepada Rasulullah: Apakah ibadah yang paling utama?

Baginda menjawab, serta dijelaskan sebagai petikan hadis yang tertera di atas. Sebaik-baik jihad ialah mengerjakan ibadah haji yang mabrur. (Yang baik, yang sempurna rukun-rukun dan syarat-syaratnya).

Menurut hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Ja'far, ada pula diterangkan, Rasulullah menyatakan kepada isteri baginda, Ummu Salamah, bahawa mengerjakan ibadah haji adalah jihad bagi orang yang lemah. Dalam hadis lain pula diriwayatkan oleh Nasai daripada Abu Hurairah, Rasulullah menerangkan: Jihad bagi orang-orang yang lemah dan kaum wanita, ialah melaksanakan ibadah haji dan umrah.

Demikianlah dilukiskan oleh Rasulullah dalam pelbagai kesempatan dan dengan versi yang berbeza-beza tentang kedudukan dan hakikat (melaksanakan) ibadah haji itu sebagai satu jihad. Di dalam hadis riwayat Bukhari diterangkan, bahawa Siti Aisyah pernah bertanya kepada Nabi: ``Ya Rasulullah! Jihad (di jalan Allah), adalah amal yang paling mulia!''

Ya, tetapi jihad yang paling mulia ialah haji mabrur (yang ikhlas niatnya dan sempurna syarat rukunnya), jawab Nabi Muhammad.

Dr. Ali Abdul Mun'iam Abdul Hamid memperkuat pendapat ini dengan katanya: ``Hadis yang suci ini bukanlah khusus untuk wanita sahaja. Meskipun dapat dimaksudkan demikian, namun sifat umumnya untuk seluruh kaum Muslim adalah lebih tepat dan lebih baik. Haji mabrur, adalah suatu amal yang mempraktikkan tujuan-tujuan tinggi yang disyariatkan Islam. Di antaranya ia menyatukan segenap Muslim di dunia dan saling mempelajari akan kedudukan masing-masing di dunia ini dengan menyelidiki diri secara menyeluruh serta dengan jiwa yang bersih dan suci - jauh daripada sentimen-sentimen kenegaraan yang sering menggoncangkan cita-cita perdamaian dan juga menjauhkan keyakinan terhadap cita-cita mulia bagi keamanan dan perdamaian dunia.

Dalam mengerjakan ibadat haji itu juga para jemaah mungkin terdedah kepada pelbagai ancaman yang sedang melanda dunia sekarang. Wabak selesema burung misalnya yang sedang merebak sedikit sebanyak akan membimbangkan jemaah yang akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Ini berdasarkan laporan seorang pakar kesihatan yang menggesa ibadah haji akan datang dibatalkan jika virus selesema burung berjangkit daripada manusia kepada manusia.

Menurut keterangan hadis riwayat Imam Malik, daripada Jabir bin Atiek, Rasulullah pernah menziarahi Abdullah bin Sabit yang sedang dalam keadaan sakit tenat. Kemudian meninggal dunia. Baginda mendengar suara para wanita meratapi kematian tersebut dan Nabi menasihati mereka supaya jangan meratap. Anak gadisnya datang menemui Rasulullah lalu berkata, ``Demi Tuhan saya mengharapkan ayah meninggal sebagai seorang syahid, Nabi menjawab; Sesungguhnya Tuhan memberi pahala menurut niat orangnya. Apakah yang dinamakan syahid mengikut pendapatmu?

Jawab mereka syahid ialah tewas dalam peperangan di jalan Allah. Jawab Nabi; Selain daripada tewas dari medan perang ada tujuh jenis lagi yang dinamakan syuhada iaitu, pertama mati kerana penyakit taun, kedua mati lemas; ketiga kerana sakit yang menyesakkan nafas, keempat sakit perut yang berbahaya, kelima sakit terbakar, keenam kerana terhimpit, dan ketujuh wanita yang melahirkan anak.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ya `la daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud; Siapa yang meninggalkan rumahnya mengerjakan haji dan dia meninggal dalam perjalanan maka ditulis pahala haji kepadanya sehingga kiamat. Dan sesiapa berangkat mengerjakan umrah dan dia meninggal, maka pahala umrahnya tetap sampai kiamat. Dan siapa yang keluar berperang di jalan Allah lalu ia meninggal dalam perjalanan, maka pahala jihadnya ditulis sampai kiamat.

Hadis ini memberi penilaian yang sama antara mereka yang mengerjakan haji dengan berperang di jalan Allah dan apabila dia meninggal dunia sebelum maksudnya tercapai semuanya itu adalah jihad yang pahalanya ditulis Allah sehingga kiamat.

Khalifah Umar bin Al-Khattab pernah memohon doa supaya dia meninggal dunia dalam menjalani empat perkara iaitu tidak dalam kelalaian dalam menjalani tugas kewajipan, tidak di dalam keadaan berbuat dosa, mati syahid, dan dimakamkan di samping makam Rasulullah. Semuanya itu diperkenankan Allah. Dia meninggal dunia ketika mengimani solat subuh. Permintaannya itu jelas menunjukkan betapa tinggi keluhuran jiwanya yang memohon kematian dalam diredai Allah.

Diriwayatkan daripada Ali bin Husin bahawa seorang bertanya kepada Rasulullah tentang jihad. Rasulullah bersabda; Mahukah aku tunjukkan jihad tanpa senjata. Itulah haji.

Jelaslah, haji dan umrah dianggap jihad kerana terkandung kesungguhan dalam mempertaruhkan harta, jiwa dan raga. Di dalam hadis riwayat Muslim dinyatakan, roh orang-orang syuhada di dalam syurga nanti bagaikan burung-burung yang berwarna biru hijau, yang bebas terbang ke segala tempat, kemudian dia bergantungan di lampu-lampu indah yang terletak di bawah arasy Tuhan.

Tuhan berfirman kepada roh itu; Masih adakah lagi permintaan kamu, mereka menjawab, ``Sudah cukup puas kami semua, wahai Tuhan. Engkau telah menganugerahkan kepada kami segala sesuatu yang tidak pernah Engkau anugerahkan kepada orang lain selain kami. Lalu mereka semakin mendekati Tuhan, dan mereka datang dengan memohon, kami ingin supaya kami dapat kembali hidup ke dunia supaya kami beramal lagi seperti sedia kala, dan kami mati lagi untuk diterima menjadi syuhada. Sesungguhnya Aku sudah menetapkan bahawa tidak boleh kembali hidup ke dunia (buat kali keduanya). (Ibnu Katsir juz 1 halaman 346)

Ibadah haji memberi pengertian yang cukup besar bagi para Muslim. Inilah antara ibadah yang menjadi sebesar-besar dan seagung-agung jihad ke jalan Allah Oleh hal yang demikian, kita seharusnya kembali menyelidiki diri sendiri apakah kita manusia yang benar-benar berjihad ke jalan Allah?

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Demi Masa