Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Rabu, 27 Januari 2010

MENCEGAH KEBOCORAN PUNDI KENCING

MENGAWAL pundi kencing bukan satu jenaka. Jutaan wanita menderita terkencing, sama ada beberapa titik yang tiada siapa sedari atau jumlah besar yang boleh memalukan!

Kesukaran mengawal kencing dicetuskan oleh beberapa sebab. Kehamilan dan melahirkan anak, menopaus dan masalah kesihatan fizikal akibat peningkatan usia merupakan antara penyumbang kepada masalah ini.

Percaya atau tidak, terdapat kaedah semula jadi untuk meningkatkan kesihatan pundi kencing tanpa menggunakan ubat-ubatan.

Senaman

Melakukan senaman mengawal pundi kencing selama lima minit, tiga kali sehari boleh memperbaiki masalah itu.

Bagaimanapun, untuk memastikan ia berkesan, anda perlu membayangkan sedang menahan kentut atau menghentikan aliran kencing ketika ia sedang cuba keluar.

Gunakan otot sama yang anda gunakan, jika terasa seperti 'tertarik', maka otot-otot yang betul digunakan untuk senaman pelvis.

Tarik otot pelvis ke dalam, tahan dan kira sampai tiga. Kemudian relaks dalam kiraan tiga. Ulangi sebanyak 10 hingga 15 kali setiap kali senaman. Anda juga boleh mencuba senaman ini dalam tiga posisi berbeza; berbaring, duduk dan berdiri.

Kekalkan berat badan normal

Memang benar, beban berat badan berlebihan meningkatkan kemungkinan lantai otot pelvis menjadi lemah.

Jika anda gemuk, cuba kurangkan berat badan dan lihat perbezaannya. Meskipun indeks jisim badan (BMI) bukanlah petunjuk kesihatan terbaik namun ia merupakan titik rujukan yang bagus untuk mengetahui sama ada anda perlu mengurangkan berat badan.

Jangan angkat berat

Jika terpaksa mengangkat sesuatu yang berat, minta bantuan orang lain melakukannya. Mengangkat objek berat secara salah boleh melemahkan lantai pelvis.

Jika mengangkat objek berat sendiri, pastikan anda melakukannya secara selamat dengan membengkokkan lutut dan menggunakan otot kaki.

Juga, cuba gabungkan latihan kekuatan dalam senaman agar anda lebih kuat untuk waktu-waktu yang memerlukan anda berbuat demikian.

Jaga makan dan minum

Sesetengah makanan seperti yang berasaskan tomato dan pedas boleh mengganggu pundi kencing.

Sementara minuman mengandungi kafein atau alkohol bertindak sebagai diuretik yang mengakibatkan kebocoran.

Justeru, lebih baik ambil cecair yang bagus untuk pundi kencing seperti air, jus epal, anggur dan cranberi.

Bersiap-sedia

Kelemahan pundi kencing melibatkan satu daripada empat wanita. Ini bermaksud anda tidak keseorangan jika menderita akibat masalah ini.

Cuba pergi ke tandas secara kerap untuk mengelak pundi kencing menjadi cepat penuh. Juga, gunakan pelapik seluar dalam atau tuala wanita ketika hari-hari aktif di mana anda tahu sukar untuk pergi ke tandas.

Sentiasa bersiap-sedia boleh memberi anda keyakinan sepanjang hari.

Sumber:Utusan Malaysia

Rabu, 13 Januari 2010

MENGAMALKAN DIET SEIMBANG

SETIAP individu pasti mengimpikan bentuk badan yang langsing, segak dan menawan. Ini kerana bentuk badan sebegini, membolehkan kita bebas untuk bergaya dan menyarungkan pelbagai koleksi pakaian yang ditawarkan di pasaran.

Bagi mereka yang bertuah memiliki bentuk badan yang diinginkan mungkin tiada masalah untuk anda melaram dengan baju baru dan cantik.

Tetapi, bagaimana pula bagi golongan yang berbadan besar? Mereka bukan sahaja terpaksa memilih baju yang bersesuaian malah kadang-kala tidak berpeluang untuk memilih.

Meskipun masyarakat sentiasa memuji dan memandang tinggi golongan berbadan langsing, tapi tahukah anda bahawa bukan semua individu berbadan kurus, mempunyai kesihatan yang baik.

Kadang-kala untuk kelihatan kurus dan mengekalkan bentuk badan, mereka sanggup berlapar dan hanya menikmati makanan dalam kuantiti sedikit. Sebagai contoh, hanya memakan meggi, beberapa keping biskut dan meneguk air putih setiap hari.

Pembantu Profesor Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Southwestern, Amerika Syarikat, Dr. Margo Denke menjelaskan, diet seimbang perlu mengandungi sumber-sumber utama seperti karbohidrat, kalori, protein dan lemak.

"Kombinasi sumber utama dapat membekalkan diet yang seimbang sekali gus memastikan individu mendapat nutrien yang berkhasiat," katanya.

Tiada salahnya bagi seseorang berusaha mengurangkan berat badan, tetapi ia perlu mengikut sistem yang betul.

Kita tidak seharusnya mengamalkan diet yang terlalu drastik dan melakukan senaman yang teruk.

Sebagai contoh, jika sebelum ini anda tidak bersenam dalam tempoh yang lama, jangan terus berlari jauh atau melakukan senaman berat di atas treadmill.

Ini kerana ia boleh mendatangkan kecederaan dan menurunkan tahap kecerdasan anda pada masa yang akan datang.

Seharusnya, anda membuka 'menu diet' dengan mengamalkan beberapa tip. Antaranya, melakukan senaman berjalan kaki selama 20 minit sehari. Mungkin anda boleh melakukan aktiviti ini ketika waktu rehat atau selepas pulang dari pejabat atau kuliah.

Jangan sesekali meneguk minuman yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Bertukarlah dengan menikmati air buah segar dan banyakkan minum air putih.

Selain itu, hindari makanan manis dan snek seperti coklat dan kek. Sebaliknya memilih makanan sihat (buah, sayur, ayam atau ikan). Begitu juga, kurangkan sapuan mentega atau mayonis yang mengandungi lemak berlebihan

Selasa, 5 Januari 2010

CUBALAH BELAJAR UNTUK BERKATA 'TIDAK'

SESETENGAH orang terlalu sukar untuk meluahkan perkataan `tidak boleh' terhadap segala bentuk permintaan dan pertolongan yang diajukan kepadanya.

Jika anda seseorang yang seperti itu, anda mungkin akan menghabiskan masa berbuat perkara-perkara untuk orang lain yang anda sebenarnya keberatan untuk melakukannya.

Keadaan ini biasanya membawa kepada perasaan marah dan kecewa yang mungkin meracuni sesuatu perhubungan atau persahabatan.

Secara umumnya, anda juga akan merasakan seolah-olah orang lain telah menguasai hidup atau masa anda. Ibaratnya anda sedang dibanjiri air tetapi tidak upaya untuk menutup paip bagi menghentikan aliran air.

Berkata `ya' kepada permintaan orang lain sedangkan anda keberatan melakukannya boleh menyebabkan ketegangan dan tekanan di dalam diri, sehingga mencetuskan gejala-gejala fizikal seperti pening kepala.

Bercakap `tidak boleh' sama seperti menutup paip dan menghentikan aliran air bagi mengelak ia merebak menjadi tekanan. Ibaratnya anda duduk di kerusi pemandu dan mempunyai kawalan terhadap masa dan hidup anda sendiri.

Dengan berterus terang dan terbuka dalam bercakap `tidak' sebenarnya turut membantu meningkatkan harga diri anda.

Seseorang yang sukar untuk bercakap `tidak' selalunya mempunyai beberapa persamaan dalam berfikir. Ini mungkin termasuk; ``Seseorang yang baik biasanya melakukan kebaikan kepada orang lain, jadi dengan bercakap `tidak' adalah kurang sopan dan mementingkan diri;'' ``Mereka lebih penting berbanding saya, jadi saya tidak boleh menolaknya;'' ``Jika saya kata `tidak' mereka akan terluka, marah atau terhina dan mereka tidak akan menyukai saya lagi;'' atau ``Saya berasa seperti diperlukan dan penting.''

Jika anda mempunyai pemikiran yang sama seperti dinyatakan di atas, anda perlu pandai mengenal-pasti jenis permintaan dan menolaknya jika boleh agar anda tidak akan terus dibebani.

Ketidakupayaan untuk berkata `tidak' selalunya timbul daripada dua pemikiran asas yang salah. Pertama, anda mungkin keliru antara menolak permintaan dengan menolak seseorang. Kedua-dua perkara ini terdapat perbezaan besar - menolak permintaan tidak bermakna menolak individu yang membuat permintaan itu.

Keduanya, anda mungkin cenderung berfikiran melebihi jangkaan bahawa orang lain mungkin tidak boleh menerima penolakan itu.

Kebanyakan orang tidak menghadapi masalah menerima penolakan secara jujur jika ia diluahkan dengan betul. Malah, kejujuran seperti itu seringkali ia membantu mengeratkan lagi hubungan. Di samping itu, ia memudahkan lagi orang lain untuk melahirkan perasaannya dan membolehkan beliau meminta pertolongan tanpa rasa marah.

Tidak dinafikan untuk mengucapkan `tidak' bagi kali pertama memang sukar. Bagaimanapun jika ia menjadi amalan akhirnya menjadi satu perkara biasa.

Reaksi yang diberi terhadap permintaan yang diajukan selalunya berbeza mengikut keadaan. Sebenarnya terdapat beberapa teknik untuk bercakap `tidak' mengikut kesesuaian tempat.

Biasanya cara anda meminta tolong mempengaruhi bentuk reaksi yang diberi dan anda harus belajar untuk menggunakan nada yang betul.

Contohnya, reaksi terhadap permintaan seorang jurujual sudah tentu berbeza dengan reaksi kepada rakan yang sememangnya memerlukan bantuan.
Related Posts with Thumbnails

Demi Masa