Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selasa, 27 April 2010

'DAH KALAH TERIMA SAJALAH'

JOHOR BAHRU 27 April - "Kalau dah kalah, terima sajalah, jangan buat andaian-andaian begitu."

Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) membeli undi untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor kelmarin.

Beliau turut menyifatkan tuduhan itu sebagai tindakan untuk memburukkan nama baik BN.

"Pokoknya kita (BN) dah menang. Bagi saya pilihan raya kecil itu telah berjalan dengan baik dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) telah menjalankan kerja mereka dengan baik.

"Kita dah terima keputusan dan BN dah menang. Pihak yang terlibat sepatutnya terima hakikat dan kenyataan itu, tak sewajarnya bangkitkan sebab-musabab kerana mereka tak puas hati dengan apa yang telah berlaku," tegasnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Mengenai kecenderungan pengundi Cina yang terus menyokong pembangkang, Muhyiddin berkata, BN akan mengkaji keputusan pilihan raya kecil tersebut secara menyeluruh.

"Dalam mana-mana pilihan raya kecil seperti ini, selepas selesai kita akan teliti kecenderungan pengundi ikut kaum dan sebagainya. Apakah perkara yang mempengaruhi pengundi untuk menyokong atau sebaliknya, itu kita akan kaji," katanya.

Ditanya dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa UMNO mempergunakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk memperjuangkan hak-hak kaum Melayu, Muhyiddin dengan tegas menafikan tuduhan itu.

"Perkasa adalah satu badan bukan kerajaan. Kita tidak merancang apa- apa dan ini adalah inisiatif yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Melayu tertentu.

"Kalau mereka berbuat sesuatu untuk menjaga kepentingan Melayu, itu adalah hak badan bukan kerajaan itu," katanya.

Menurutnya, Kit Siang sendiri dalam ucapannya termasuk yang disiarkan di dalam blog turut membuat seruan-seruan kepada kaum tertentu bersatu atas tujuan menolak hak kaum lain.

"Saya fikir, nak kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih," ujarnya.

Beliau berkata, BN akan meneliti secara terperinci di setiap peti undi dan menilai apakah langkah dan strategi yang boleh diambil untuk memperkukuhkan parti dan BN bagi menghadapi cabaran pada masa depan.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu, calon BN, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

SUMBER:UTUSAN MALAYSIA (RABU,28 APRIL 2010)
Related Posts with Thumbnails

Demi Masa