Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sabtu, 31 Oktober 2009

SYARAT-SYARAT SAH SOLAT BERJEMAAH

1 - Makmum hendaklah berniat mengikut imam. Adapun imam tidak menjadi syarat berniat menjadi imam, hanya sunat agar ia mendapat ganjaran berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w.: Sesungguhnya segala amal itu hendaklah dengan niat. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

2 - Makmum hendaklah mengikut imamnya dalam segala pekerjaannya. Maksudnya makmum hendaklah membaca takbiratul ihram sesudah imam bertakbir, begitu juga permulaan segala perbuatan makmum hendaklah terkemudian daripada yang dilakukan oleh imamnya.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Sesungguhnya imam itu dijadikan imam supaya diikuti perbuatannya, apabila ia telah bertakbir hendaklah kamu bertakbir dan apabila ia rukuk, maka hendaklah kamu rukuk pula. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3 - Mengetahui gerak-geri perbuatan imam, umpamanya daripada berdiri kepada rukuk, iktidal dan seterusnya sujud, sama ada diketahuinya dengan cara melihat imam sendiri atau melihat saf makmum di belakang imam dan seterusnya.

4 - Kedua-duanya (imam dan makmum) berada di dalam satu tempat, umpamanya berada di dalam satu rumah. Sesetengah ulama berpendapat bahawa sembahyang di dalam satu tempat ini tidak menjadi syarat, hanya sunat kerana yang perlu diketahui adalah pergerakan perpindahan imam daripada rukun ke rukun atau dari rukun ke sunat dan sebaliknya, agar makmum dapat mengikuti pergerakan imamnya.

5 - Tempat berdiri makmum tidak boleh lebih hadapan daripada imamnya. Apabila orang yang sembahyang berdiri, diukur tumitnya dan bagi orang yang sembahyang duduk, diukur daripada punggungnya.

6 - Hendaklah sama aturan sembahyang makmum dengan sembahyang imam. Bermaksud tidak sah sembahyang fardu jika yang mengikutnya melakukan sembahyang jenazah atau sembahyang gerhana kerana cara (aturan) kedua-dua sembahyang itu tidak sama.

7 - Lelaki tidak sah berimamkan perempuan. Ini bererti lelaki tidak boleh menjadi makmum sedang imamnya perempuan. Kaum perempuan hanya boleh menjadi imam bagi perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Perempuan janganlah dijadikan imam, sedangkan makmumnya lelaki. (Riwayat Ibnu Majah)

8 - Keadaan imam tidak ummi (buta huruf) sedangkan makmumnya qari (boleh membaca). Hendaknya imam itu seorang yang baik bacaannya.

9 - Janganlah makmum berimam kepada orang yang diketahui bahawa sembahyangnya tidak sah (batal). Contohnya, mengikut imam yang diketahui oleh makmum bahawa ia bukan orang Islam atau ia berhadas atau bernajis pada badan dan pakaian atau tempatnya.

Untuk memahami secara terperinci,sila rujuk kitab 'shifatu Shalati An-Nabiyyi Shallallahu 'Alaihi wa Sallama min At-takbiiri ilaa At-Tasliimi Ka-annaka Taraahaa', Karya Muhammad Nashiruddin Al-Albani.

Khamis, 22 Oktober 2009

KHASIAT DAUN SIRIH

TERLALU banyak peribahasa Melayu yang mengaitkan pokok atau daun SIRIH dan sehingga kini masih lagi digunakan dalam ucapan dan tulisan.

Antaranya yang selalu didengar ialah sirih naik, junjungan patah; sirih pulang ke gagang; sirih berlipat datang sendiri; ada sirih hendak makan sepah; seikat bagaikan sirih, serumpun bagaikan serai; dan umpama sirih, menjalar dulu kemudian melilit barulah memanjat ke pucuk junjung.

Ini menjadi tanda bahawa tumbuhan itu bukan saja begitu hampir dan akrab dengan masyarakat tetapi ia juga pastinya mempunyai banyak keistimewaan.

Sirih atau nama saintifiknya Piper batle L. dari keluarga piperaceae adalah tumbuhan atau pokok renek yang memanjat dengan daunnya berbentuk lonjong lancip ke bawah.

Ia mempunyai peranan, daya tarikan dan kegunaan yang tersendiri dalam kehidupan dan tradisi masyarakat.

Sesetengah orang memakannya begitu saja bersama-sama pinang, gambir dan kapur yang mana pemakanannya turut dikaitkan dengan penjagaan gigi.

Sirih juga menjadi salah satu barangan utama sebagai tanda adat ketika upacara merisik, meminang, pertunangan dan pernikahan.

Di sebalik itu, sirih juga sebenarnya mempunyai khasiat tersendiri yang disedari atau tidak disedari oleh masyarakat selama ini.

Antara khasiatnya ialah merawat sakit perut, kembung, hidung berdarah, kencing tidak lawas, mata gatal dan menghilangkan bau badan serta bau mulut.

Untuk melegakan sakit perut dan menghilangkan bau badan serta bau mulut, lima atau enam helai daun sirih perlu direbus terlebih dahulu.Ambil segelas air rebusan itu dan kemudian dikumur-kumurkan. Segelas lagi diminum dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang.

Bagi masalah hidung berdarah kerana kepanasan, sehelai daun sirih digulung dan dimasukkan ke dalam hidung selama setengah jam.

Untuk mengatasi masalah kegatalan mata, tiga atau empat helai daun sirih direbus dan kemudian air rebusan yang telah suam atau sejuk disimbahkan ke mata serta diulangi tiga kali sehari.

Bagi sakit kembung perut, beberapa helai daun sirih ditumbuk halus dan dilumatkan atau dilekatkan pada perut.Dengan memakan daun sirih bersama-sama buah pinang boleh melawaskan kencing.

Selain mengubati penyakit, sirih boleh menghalau semut jika daunnya yang diracik-racik diletakkan di laluan mereka.Selamat mencuba ye kawan-kawan....

Selasa, 13 Oktober 2009

RIJAL TELAH HILANG?

Setiap hari bingkisan dari syurga tiba
Mengulangi tentang rindunya pada kuntuman rijal
Mengapa kuntum mekar tidak lagi menghiasi taman?
Di dunia kelopak demi kelopak layu berguguran
Dimamah deretan anai-anai tribulasi zaman
Setiap dekad belum lagi menjadi piala perjuangan
Sebaliknya menjadi takungan air mata
Yang mengalir di pipi perlahan melihat satu demi satu
Bolos pada jaring-jaring robek dimakan tikus

Lukah yang ditanam selama ini tidak lagi seperti semalam
Jerat yang dipasang juga tidak bingkas
Setiap kali pulang hanya diburu kesepian
Di tengah hiruk pikuk mertua dan anak-anak

Dunia semakin tenat
Tetapi sepatu rijal belum lagi kedengaran
Pulang membawa pesanan yang dikirim
Umat masih tertinggung di tangga
Dengan dua tangan bertupang dagu
Mengintai andainya kelihatan
Langkah pulang seorang rijal

Taman syurga semakin riuh dengan bisikan malaikat
Bisikan ingin tahu yang sungguh-sungguh
Siapakah tetamu syurga esok hari
Kerana hari ini dunia mengiklankan kehilangannya
Di sana-sini pada dinding dan tembok tembok
Terpampang pemidang jelas
Bagi siapa yang melintasi dan menatapinya

‘RIJAL TELAH HILANG’

Jumaat, 9 Oktober 2009

BERFIKIRLAH......

Banyak orang kenal diri orang lain, tetapi tidak kenal diri sendiri. Sebab itu orang sibuk memikirkan kecacatan orang lain daripada kecacatan diri sendiri.''

Demikianlah pengamatan seorang pujangga. Dalam ceramah agama juga kita bersua dengan ingatan tok guru bahawa setiap kali kita menuding jari telunjuk kita kepada orang, tiga jari yang lain sekali gus menunjuk kepada diri kita.

Dalam nada yang sama Khalifah Islam keempat, Saidina Ali bin Abi Talib k.w. mengungkapkan, ''Alangkah banyak pelajaran dan sedikitnya orang yang mengambil pelajaran''.

Allahyarham Buya Hamka, seorang ulama rumpun Melayu pernah menganjurkan, ''Kalau kita mahu belajar, seluruh dunia di sekeliling kita akan menjadi guru kepada kita''.

Pengamatan tersebut mengingatkan kita supaya kita selalu berfikir dan menilai akan diri dan peranan kita sebagai insan yang dikurniai Allah akal fikiran dan kebijaksanaan.

Islam menyanjung tinggi tabiat berfikir, kerana ia adalah agama untuk yang berakal. Orang yang berakal akan bijak menggunakan akalnya. Ia akan mencari yang terbaik dan menyisihkan yang tidak baik.

Itulah sebabnya Islam menjadi nama pilihan agama kita kerana Islam membawa erti selamat dan sejahtera untuk diri dan orang lain.

Tabiat mencari-cari kesilapan dan memperbesarkan kelemahan orang nampaknya sudah menjadi wabak sehingga keutuhan dan kemuliaan diri sendiri dientengkan. Sudah tidak lagi menjadi janggal di mana suara-suara begitu galak menyalahkan orang lain sebagai helah supaya diri sendiri tidak dipersalahkan oleh orang.

Lihat sahajalah keadaan yg berlaku di Perlis baru-baru ini, isu pemecatan iman sengaja dibesar-besarkan oleh individu tertentu bertujuan untuk memburukkan orang-orang yang tidak senada dengan mereka.

Kita sebagai insan yang berakal sepatutnya kita tidaklah harus mengambil kesempatan untuk menjadi jaguh dalam memburuk-burukkan sesuatu kemelut yang menimpa orang lain. kita wajar menggerakkan hati kita untuk bermuhasabah, menilai dan menghitung diri kita supaya kita tidak terjebak ke dalam arus pemikiran dan amalan yang tidak berpijak di bumi nyata.
Related Posts with Thumbnails

Demi Masa