Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selasa, 16 Mac 2010

SYARAT PENERIMAAN AMALAN MUSLIM






Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahf ayat 110, maksudnya :
“ Barang siapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia melakukan amal yang soleh, dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat dengan Tuhannya”.
Dalam ayat ini, Allah SWT  telah menggariskan dua syarat bagi hambaNya yang ingin mendapatkan ganjaran kebaikan di Hari Akhirat. Iaitu pertama, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan kedua hendaklah dia tidak mempersekutukan Allah dalam amal ibadat itu. Yang dimaksudkan dengan amal soleh dalam ayat ini ialah amalan zahir yang menepati sunnah Nabi SAW kerana dialah satu-satunya Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT untuk mengajar kita cara beribadat dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud ) :
“ sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan ( ibadat ) bukan mengikut ( spesifikasi ) cara kami, maka ia adalah tertolak” ( sahih Muslim No: 1718 )
Manakala yang dimaksudkan dengan ‘tidak mempersekutukan Allah dalam ibadat’ ialah amalan batin, iaitu melakukan ibadat dengan niat yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredaanNya, bukan kerana tujuan yang lain. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud) :
“ Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang ikhlas dan ( bertujuan) mencari keredaanNya semata-mata” (Sunan An-Nasai, No :3140, hadith ini dinilai hasan oleh Ibn Rajab dalam Jami’ Al-‘Ulum Wa Al-Hikam )
Maksud ayat dan hadith diatas menunjukkan  bahawa syarat penerimaan ibadat di sisi Allah SWT ada dua: pertama, kesahihan amalan batin dalam bentuk niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah, dan kedua, kesahihan amalan zahir dalam bentuk menepati sunnah ( cara ) yang diajar oleh Rasul SAW. Bagi menghasilkan kualiti ibadat yang diterima oleh Allah SWT, kedua-dua syarat ini saling berkait dan tidak boleh berpisah antara satu sama lain. Jika amalan yang tidak ikhlas akan ditolak oleh Allah SWT meskipun menepati sunnah Nabi SAW, maka begitu juga sebaliknya, amalan yang tidak menepati sunnah Nabi SAW tidak akan diterima Oleh Allah SWT meskipun ada niat ikhlas.
Berdasarkan kedua-dua syarat ini, nyatalah kepada kita bahawa persepsi sebahagian masyarakat Islam yang meletakkan kekudusan sesuatu amalan hanya semata-mata kepada niat atau tujuan yang baik tanpa mempedulikan cara pelaksanaannya adalah persepsi yang salah sama sekali. Dalam sebuah hadith, tiga orang sahabat RA datang bertanya isteri Nabi SAW  berkenaan ibadat Baginda di rumah. Setelah mereka diberitahu mengenainya, mereka mula membuat perkiraan logic dengan mengandaikan bahawa jika Baginda SAW yang maksum masih terus tekun beribadat, maka mereka yang tidak maksum perlu beribadat lebih daripada itu. Lantas seorang daripada mereka berazam untuk bersolat sepanjang malam, seorang lagi berazam untuk berpuasa sepanjang tahun, manakala yang ketiga pula berazam untuk tidak berkahwin seumur hidup. Mendengar kata-kata mereka itu, Lalu Baginda SAW bersabda ( yang bermaksud ) :
“ Ketahuilah! Demi Allah! Sesungguhnya aku orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di antara kamu, tetapi aku (kadangkala) berpuasa dan (kadangkala) tidak, aku bersolat (malam) tetapi aku juga tidur dan aku juga berkahwin dengan wanita-wanita. Justeru, sesiapa yang tidak ikut sunnahku, maka dia bukan dari (kalangan umat) ku” ( Sahih Al-Bukhari, no: 4776. )
Hadith ini menceritakan tengtang tiga sahabat RA yang berazam untuk melipat gandakan kuantiti ibadat mereka, dengan niat yang tulus ikhlas bagi mendapat keredaan Allah SWT. Namun disebabkan cara ibadat yang mereka ingin lakukan itu tidak menepati cara Nabi SAW, maka Baginda tidak memperakukannya meskipun niat mereka baik. Selain daripada hadith diatas, terdapat banyak lagi hadith Nabi SAW yang menunjukkan penolakan terhadap falsafah ‘tujuan menghalalkan cara’ ini, seperti sabda Baginda SAW (yang bermaksud) :
“jangan kamu melampau memujaku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuja ( Nabi ) Isa Ibn Maryam AS, aku hanyalah seorang hamba Allah, maka pujilah aku sebagai seorang hamba dan pesuruh Allah” ( Sahih Bukhari, No: 3261 )
Dalam hadith ini, Baginda SAW  melarang para  sahabat daripada memujinya secara berlebihan, sedangkan kita sedia maklum bahawa niat para sahabat di sebalik pujian itu adalah baik dan cara pujian yang dilakukan oleh para Sahabat terhadap Nabi SAW tidaklah sampai mengangkat status Baginda  ke tahap ketuhanan sebagaimana cara pemujaan yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa A.S. Namun, Baginda SAW tetap melarangnya sebagai satu penjelasan betapa niat dan tujuan yang baik itu tidak sekali-kali menghalalkan cara.
Di Kalangan umat Islam hari ini ramai yang menyangka bahawa sesuatu amalan itu pasti akan diterima oleh Allah SWT berdasarkan tujuan yang baik kerana mereka menganggap bahawa sesuatu amalan itu akan menjadi baik bila ada niat yang baik. Kerana berpegang dengan persepsi yang salah ini, maka masyarakat Islam tidak lagi segan silu untuk melakukan perkara yang menyalahi sunnah Nabi SAW atau yang melanggar batas-batas hukum syara’ dengan alasan (kononnya) asalkan niatnya baik. Akhirnya lahirnya ungkapan-ungkapan yang songsang seperti: “ Walaupun saya tidak menutup aurat tapi Iman saya kuat”, “ walaupun saya tak sembahyang tapi hati saya baik”, “Walaupun kenduri tahlil itu Nabi SAW tak buat tapi tujuan ia dilakukan adalah baik”. Kata-kata seumpama ini ternyata lahir daripada individu yang gagal memahami prinsip dan syarat penerimaan amalan di sisi Allah SWT. Akhirnya jati diri mereka menjadi terlalu lemah untuk berhadapan dengan runtutan hawa nafsu yang sentiasa tertarik kepada kemaksiatan. Justeru, untuk memantapkan jati diri mereka, setiap muslim wajib menjaga prinsip kemurnian niat dan kesahihan cara sebagai dua syarat penerimaan amalan di sisi Allah SWT yang mesti dihayati sebaik mungkin dalalm setiap aktiviti kehidupan.

Isnin, 8 Mac 2010

ANGAN-ANGAN ISLAMI

Kebanyakan manusia suka berimpian dan berangan-angan. Bila dia lalu di hadapan mahligai yang indah, dia berangan-angan untuk memilikinya, bila dia melihat kereta mewah, dia berangan-angan untuk menaikinya, bila dia melihat kesenangan orang kaya, dia berangan-angan untuk menjadi sepertinya. Demikianlah sifat kebanyakan manusia, mereka mengelamun bersendirian berkhayal untuk menikmati angan-angan mereka di alam fantasi. Islam tidak menghalang umatnya untuk berfantasi dengan angan-angan mereka asalkan angan-angan itu realistik serta berguna untuk meningkatkan motivasi dan mencetuskan pangabdian yang tinggi. Angan-angan yang baik, yang lahir dari lubuk hati yang tenang dan ikhlas serta dibina di atas matlamat dan tujuan yang murni, sudah tentu akan berupaya meningkatkan jati diri. Sabda Rasuluallah SAW(yang bermaksud) :

“ Hanya sanya dunia ini untuk empat golongan. (pertama) hamba yang diberi harta dan ilmu oleh Allah SWT, lalu dia bertakwa kepada Tuhannya dalam ( pengurusan )nya, dia menyambung silaturrahim dengannya dan dia tahu hak Allah padanya, maka inilah kedudukan yang paling baik. ( Kedua ) hamba yang diberi ilmu oleh Allah SWT tetapi tidak diberi harta, lalu dia berniat baik seraya berkata: “ Sekiranya aku diberi harta, nescaya aku akan lakukan ( perkara kebaikan ) seperti apa yang dilakukan oleh orang itu, maka dengan niatnya itu, ganjaran pahala kedua-duanya adalah sama. (Ketiga) hamba yang diberi harta oleh Allah SWT tapi tidak diberi ilmu, lalu dia membelanjakan hartanya tanpa ilmu, dia tidak bertakwa kepada Tuhan dalam ( pengurusannya )nya, dia tidak menyambung silaturrahim dengannya dan tidak pula tahu hak Allah padanya, maka dia berada pada kedudukan yang paling buruk. (keempat ) hamba yang tidak diberi harta dan tidak juga diberi ilmu oleh Allah SWT, lalu dia berkata : “Sekiranya aku diberi harta, nescaya aku akan lakukan ( perkara keburukan) seperti apa yang dilakukan oleh orang itu, maka dengan niatnya itu, dosa kedua-duanya adalah sama” ( Al-Albani, Muhammad Nasiruddin, Sahih Sunan At-Tarmizi, No: 1894 ).

Lihatlah bagaimana suatu angan-angan yang baik boleh memandu seseorang manusia ke arah kebaikan dan mengangkat martabatnya di sisi Allah SWT meskipun dia belum merealisasikan angan-angan tersebut. Dan lihatlah pula bagaimana suatu angan-angan yang buruk boleh mencampakkan manusia ke lembah kehinaan di sisi Allah SWT, meskipun dia belum melakukan perkara kehinaan itu. Justeru, Islam mengalakkan umatnya berangan-angan menjadi Si Kaya yang pemurah, yang tahu menunaikan tanggungjawab sebagai hartawan. Demikian juga Islam mengalakkan umatnya berangan-angan menjadi si Alim yang bertakwa, yang tahu beramal dengan ilmunya.

Jumaat, 5 Mac 2010

JAUHI AMALAN BID'AH


Umat Islam sepatutnya merasa cukup dan berpada dengan apa yang di bawa oleh Nabi SAW kerana apa yang disampaikan oleh baginda itu adalah ajaran Islam yang telah lengkap selengkap-lengkapnya. Allah SWT berfirman (yang bermaksud) :

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu, dan telah Ku redai Islam itu sebagai agamamu”(Al-Maidah,5:3)

Ayat ini jelas menunjukkan kesempurnaan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW sebagai agama yang diredhai oleh Allah SWT. Dengan kesempurnaan ini, maka tidak ada sebab untuk kita menambah cara ibadat kita melebihi apa yang diajar oleh Nabi SAW, kerana apa yang diajar oleh baginda itu sudah lebih dari cukup, bahkan mencabar kemampuan kebanyakan manusia biasa. Seorang yahudi pernah berkata kepada Umar Ibn Khatab RA bahawa jika ada ayat seperti ayat itu diturunkan kepada kaum mereka, nescaya mereka akan menjadikan hari tersebut sebagai perayaan besar-besaran, sebagai tanda kesyukuran diatas nikmat kesempurnaan agama (sahih Bukhari, No 4606). Amat malang sekali, jika golongan yahudi yang tidak mendapat nikmat kesempurnaan agama lebih tahu menilai nikmat kesempurnaan itu, sedangkan umat Islam yang mendapat anugerah tersebut tidak tahu pula menilainya.

Orang yang suka menokok nambah amalan bid’ah dalam agama sebenarnya terdiri daripada golongan yang bebal dan jahil tengtang Sunnah Nabi SAW. Disebabkan kebebalan dan kejahilan itu, mereka merasakan amal ibadat mereka masih banyak kekurangan lalu mereka cuba menampung kekurangan itu dengan bebanan amalan yang mereka cipta sendiri. Sedangkan, jika mereka belajar, nescaya mereka akan tahu bahawa amalan Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW itu sudah terlalu banyak dan mereka akan merasa cukup dengan bebanan yang banyak itu. Alangkah baiknya jika mereka menghabiskan semua amalan Sunnah itu terlebih dahulu, kemudian jika mereka masih rasa tak cukup mungkin ada sedikit kewajaran untuk mereka menambah. Tetapi ketika masih banyak lagi amalan Sunnah yang mereka tak tahu dan tak amalkannya, maka dimanakah kewajaran untuk mereka bersusah payah beramal dengan amalan bid’ah yang mereka ciptakan itu? Bahkan, jika mereka cerdik lalu mereka berpada dengan amalan wajib sahaja tanpa melakukan sebarang amalan sunat yang lain pun dikira lebih baik daripada mereka menokok tambah amalan bid;ah itu.

Seorang lelaki dari qabilah Najd pernah menegaskan kepada Baginda SAW bahawa jika beliau memeluk Islam beliau hanya ingin melaksanakan rukun Islam sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Dengan perkataan lain, lelaki itu hanya ingin melakukan amalan wajib sahaja tanpa menambahnya dengan sebarang amalan sunat walau sedikitpun. Lalu Baginda SAW memperakukan keinginan lelaki itu dengan sabdanya yang bermaksud: “ Telah berjayalah oreng itu jika dia bercakap benar”( sahih Bukhari, No: 46). Sabda Nabi SAW ini menunjukkan bahawa jika lelaki itu ingin berpada dengan amaln wajib sahaja tanpa melaksanakan sebarang amalan lain, maka ia sudah memadai baginya untuk ,mendapat balasan syurga (jika cukup syarat-syaratnya). Oleh itu, jika berpada dengan amalan wajib pun dikira sudah memadai, maka apakah gunanya lagi menokok tambah amalan bid’ah sehingga melebihi bukan setakat amalan wajib sahaja, bahkan juga melebihi segala amalan sunat yang telah di Sunnahkan oleh Nabi SAW? Apalah gunanya bersuasah payah melakukan perkara bid’ah itu, sedangkan nas yang sahih menunjukkan bahawa amalan itulah yang akan menghalang  seseorang daripada mendapat keselamatan pada Hari Akhirat kelak sabda Nabi SAW (yang bermaksud) :

“Sedang aku menunggu orang datang menemuiku di kolamku (di syurga ), tiba-tiba dibawa datang sekempulan manusia di bawahku sehinggakan aku tunduk untuk mencapai mereka tetapi mereka berjatuhan dibawahku, lalu aku mengeluh: “Wahai Tuhankau! (mereka adalah) umatku. Dia (Allah) berfirman: “ Kamu tidak tahu apa yang telah mereka ada-adakan (perkara bid’ah) selepasmu”. (sahih Bukhari, No 7048, 7049)
Related Posts with Thumbnails

Demi Masa