Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selasa, 16 Mac 2010

SYARAT PENERIMAAN AMALAN MUSLIM






Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahf ayat 110, maksudnya :
“ Barang siapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia melakukan amal yang soleh, dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat dengan Tuhannya”.
Dalam ayat ini, Allah SWT  telah menggariskan dua syarat bagi hambaNya yang ingin mendapatkan ganjaran kebaikan di Hari Akhirat. Iaitu pertama, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan kedua hendaklah dia tidak mempersekutukan Allah dalam amal ibadat itu. Yang dimaksudkan dengan amal soleh dalam ayat ini ialah amalan zahir yang menepati sunnah Nabi SAW kerana dialah satu-satunya Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT untuk mengajar kita cara beribadat dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud ) :
“ sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan ( ibadat ) bukan mengikut ( spesifikasi ) cara kami, maka ia adalah tertolak” ( sahih Muslim No: 1718 )
Manakala yang dimaksudkan dengan ‘tidak mempersekutukan Allah dalam ibadat’ ialah amalan batin, iaitu melakukan ibadat dengan niat yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredaanNya, bukan kerana tujuan yang lain. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud) :
“ Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang ikhlas dan ( bertujuan) mencari keredaanNya semata-mata” (Sunan An-Nasai, No :3140, hadith ini dinilai hasan oleh Ibn Rajab dalam Jami’ Al-‘Ulum Wa Al-Hikam )
Maksud ayat dan hadith diatas menunjukkan  bahawa syarat penerimaan ibadat di sisi Allah SWT ada dua: pertama, kesahihan amalan batin dalam bentuk niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah, dan kedua, kesahihan amalan zahir dalam bentuk menepati sunnah ( cara ) yang diajar oleh Rasul SAW. Bagi menghasilkan kualiti ibadat yang diterima oleh Allah SWT, kedua-dua syarat ini saling berkait dan tidak boleh berpisah antara satu sama lain. Jika amalan yang tidak ikhlas akan ditolak oleh Allah SWT meskipun menepati sunnah Nabi SAW, maka begitu juga sebaliknya, amalan yang tidak menepati sunnah Nabi SAW tidak akan diterima Oleh Allah SWT meskipun ada niat ikhlas.
Berdasarkan kedua-dua syarat ini, nyatalah kepada kita bahawa persepsi sebahagian masyarakat Islam yang meletakkan kekudusan sesuatu amalan hanya semata-mata kepada niat atau tujuan yang baik tanpa mempedulikan cara pelaksanaannya adalah persepsi yang salah sama sekali. Dalam sebuah hadith, tiga orang sahabat RA datang bertanya isteri Nabi SAW  berkenaan ibadat Baginda di rumah. Setelah mereka diberitahu mengenainya, mereka mula membuat perkiraan logic dengan mengandaikan bahawa jika Baginda SAW yang maksum masih terus tekun beribadat, maka mereka yang tidak maksum perlu beribadat lebih daripada itu. Lantas seorang daripada mereka berazam untuk bersolat sepanjang malam, seorang lagi berazam untuk berpuasa sepanjang tahun, manakala yang ketiga pula berazam untuk tidak berkahwin seumur hidup. Mendengar kata-kata mereka itu, Lalu Baginda SAW bersabda ( yang bermaksud ) :
“ Ketahuilah! Demi Allah! Sesungguhnya aku orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di antara kamu, tetapi aku (kadangkala) berpuasa dan (kadangkala) tidak, aku bersolat (malam) tetapi aku juga tidur dan aku juga berkahwin dengan wanita-wanita. Justeru, sesiapa yang tidak ikut sunnahku, maka dia bukan dari (kalangan umat) ku” ( Sahih Al-Bukhari, no: 4776. )
Hadith ini menceritakan tengtang tiga sahabat RA yang berazam untuk melipat gandakan kuantiti ibadat mereka, dengan niat yang tulus ikhlas bagi mendapat keredaan Allah SWT. Namun disebabkan cara ibadat yang mereka ingin lakukan itu tidak menepati cara Nabi SAW, maka Baginda tidak memperakukannya meskipun niat mereka baik. Selain daripada hadith diatas, terdapat banyak lagi hadith Nabi SAW yang menunjukkan penolakan terhadap falsafah ‘tujuan menghalalkan cara’ ini, seperti sabda Baginda SAW (yang bermaksud) :
“jangan kamu melampau memujaku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuja ( Nabi ) Isa Ibn Maryam AS, aku hanyalah seorang hamba Allah, maka pujilah aku sebagai seorang hamba dan pesuruh Allah” ( Sahih Bukhari, No: 3261 )
Dalam hadith ini, Baginda SAW  melarang para  sahabat daripada memujinya secara berlebihan, sedangkan kita sedia maklum bahawa niat para sahabat di sebalik pujian itu adalah baik dan cara pujian yang dilakukan oleh para Sahabat terhadap Nabi SAW tidaklah sampai mengangkat status Baginda  ke tahap ketuhanan sebagaimana cara pemujaan yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa A.S. Namun, Baginda SAW tetap melarangnya sebagai satu penjelasan betapa niat dan tujuan yang baik itu tidak sekali-kali menghalalkan cara.
Di Kalangan umat Islam hari ini ramai yang menyangka bahawa sesuatu amalan itu pasti akan diterima oleh Allah SWT berdasarkan tujuan yang baik kerana mereka menganggap bahawa sesuatu amalan itu akan menjadi baik bila ada niat yang baik. Kerana berpegang dengan persepsi yang salah ini, maka masyarakat Islam tidak lagi segan silu untuk melakukan perkara yang menyalahi sunnah Nabi SAW atau yang melanggar batas-batas hukum syara’ dengan alasan (kononnya) asalkan niatnya baik. Akhirnya lahirnya ungkapan-ungkapan yang songsang seperti: “ Walaupun saya tidak menutup aurat tapi Iman saya kuat”, “ walaupun saya tak sembahyang tapi hati saya baik”, “Walaupun kenduri tahlil itu Nabi SAW tak buat tapi tujuan ia dilakukan adalah baik”. Kata-kata seumpama ini ternyata lahir daripada individu yang gagal memahami prinsip dan syarat penerimaan amalan di sisi Allah SWT. Akhirnya jati diri mereka menjadi terlalu lemah untuk berhadapan dengan runtutan hawa nafsu yang sentiasa tertarik kepada kemaksiatan. Justeru, untuk memantapkan jati diri mereka, setiap muslim wajib menjaga prinsip kemurnian niat dan kesahihan cara sebagai dua syarat penerimaan amalan di sisi Allah SWT yang mesti dihayati sebaik mungkin dalalm setiap aktiviti kehidupan.

1 ulasan:

mybkexperience berkata...



I found this on internet and it is really very nice to read and helpful.
Excellent blog.
Great work!
Krogerfeedback
Travel-blog
mybkexperience

Related Posts with Thumbnails

Demi Masa