Isnin, 8 Mac 2010

ANGAN-ANGAN ISLAMI

Kebanyakan manusia suka berimpian dan berangan-angan. Bila dia lalu di hadapan mahligai yang indah, dia berangan-angan untuk memilikinya, bila dia melihat kereta mewah, dia berangan-angan untuk menaikinya, bila dia melihat kesenangan orang kaya, dia berangan-angan untuk menjadi sepertinya. Demikianlah sifat kebanyakan manusia, mereka mengelamun bersendirian berkhayal untuk menikmati angan-angan mereka di alam fantasi. Islam tidak menghalang umatnya untuk berfantasi dengan angan-angan mereka asalkan angan-angan itu realistik serta berguna untuk meningkatkan motivasi dan mencetuskan pangabdian yang tinggi. Angan-angan yang baik, yang lahir dari lubuk hati yang tenang dan ikhlas serta dibina di atas matlamat dan tujuan yang murni, sudah tentu akan berupaya meningkatkan jati diri. Sabda Rasuluallah SAW(yang bermaksud) :

“ Hanya sanya dunia ini untuk empat golongan. (pertama) hamba yang diberi harta dan ilmu oleh Allah SWT, lalu dia bertakwa kepada Tuhannya dalam ( pengurusan )nya, dia menyambung silaturrahim dengannya dan dia tahu hak Allah padanya, maka inilah kedudukan yang paling baik. ( Kedua ) hamba yang diberi ilmu oleh Allah SWT tetapi tidak diberi harta, lalu dia berniat baik seraya berkata: “ Sekiranya aku diberi harta, nescaya aku akan lakukan ( perkara kebaikan ) seperti apa yang dilakukan oleh orang itu, maka dengan niatnya itu, ganjaran pahala kedua-duanya adalah sama. (Ketiga) hamba yang diberi harta oleh Allah SWT tapi tidak diberi ilmu, lalu dia membelanjakan hartanya tanpa ilmu, dia tidak bertakwa kepada Tuhan dalam ( pengurusannya )nya, dia tidak menyambung silaturrahim dengannya dan tidak pula tahu hak Allah padanya, maka dia berada pada kedudukan yang paling buruk. (keempat ) hamba yang tidak diberi harta dan tidak juga diberi ilmu oleh Allah SWT, lalu dia berkata : “Sekiranya aku diberi harta, nescaya aku akan lakukan ( perkara keburukan) seperti apa yang dilakukan oleh orang itu, maka dengan niatnya itu, dosa kedua-duanya adalah sama” ( Al-Albani, Muhammad Nasiruddin, Sahih Sunan At-Tarmizi, No: 1894 ).

Lihatlah bagaimana suatu angan-angan yang baik boleh memandu seseorang manusia ke arah kebaikan dan mengangkat martabatnya di sisi Allah SWT meskipun dia belum merealisasikan angan-angan tersebut. Dan lihatlah pula bagaimana suatu angan-angan yang buruk boleh mencampakkan manusia ke lembah kehinaan di sisi Allah SWT, meskipun dia belum melakukan perkara kehinaan itu. Justeru, Islam mengalakkan umatnya berangan-angan menjadi Si Kaya yang pemurah, yang tahu menunaikan tanggungjawab sebagai hartawan. Demikian juga Islam mengalakkan umatnya berangan-angan menjadi si Alim yang bertakwa, yang tahu beramal dengan ilmunya.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Demi Masa