Rabu, 27 Januari 2010

MENCEGAH KEBOCORAN PUNDI KENCING

MENGAWAL pundi kencing bukan satu jenaka. Jutaan wanita menderita terkencing, sama ada beberapa titik yang tiada siapa sedari atau jumlah besar yang boleh memalukan!

Kesukaran mengawal kencing dicetuskan oleh beberapa sebab. Kehamilan dan melahirkan anak, menopaus dan masalah kesihatan fizikal akibat peningkatan usia merupakan antara penyumbang kepada masalah ini.

Percaya atau tidak, terdapat kaedah semula jadi untuk meningkatkan kesihatan pundi kencing tanpa menggunakan ubat-ubatan.

Senaman

Melakukan senaman mengawal pundi kencing selama lima minit, tiga kali sehari boleh memperbaiki masalah itu.

Bagaimanapun, untuk memastikan ia berkesan, anda perlu membayangkan sedang menahan kentut atau menghentikan aliran kencing ketika ia sedang cuba keluar.

Gunakan otot sama yang anda gunakan, jika terasa seperti 'tertarik', maka otot-otot yang betul digunakan untuk senaman pelvis.

Tarik otot pelvis ke dalam, tahan dan kira sampai tiga. Kemudian relaks dalam kiraan tiga. Ulangi sebanyak 10 hingga 15 kali setiap kali senaman. Anda juga boleh mencuba senaman ini dalam tiga posisi berbeza; berbaring, duduk dan berdiri.

Kekalkan berat badan normal

Memang benar, beban berat badan berlebihan meningkatkan kemungkinan lantai otot pelvis menjadi lemah.

Jika anda gemuk, cuba kurangkan berat badan dan lihat perbezaannya. Meskipun indeks jisim badan (BMI) bukanlah petunjuk kesihatan terbaik namun ia merupakan titik rujukan yang bagus untuk mengetahui sama ada anda perlu mengurangkan berat badan.

Jangan angkat berat

Jika terpaksa mengangkat sesuatu yang berat, minta bantuan orang lain melakukannya. Mengangkat objek berat secara salah boleh melemahkan lantai pelvis.

Jika mengangkat objek berat sendiri, pastikan anda melakukannya secara selamat dengan membengkokkan lutut dan menggunakan otot kaki.

Juga, cuba gabungkan latihan kekuatan dalam senaman agar anda lebih kuat untuk waktu-waktu yang memerlukan anda berbuat demikian.

Jaga makan dan minum

Sesetengah makanan seperti yang berasaskan tomato dan pedas boleh mengganggu pundi kencing.

Sementara minuman mengandungi kafein atau alkohol bertindak sebagai diuretik yang mengakibatkan kebocoran.

Justeru, lebih baik ambil cecair yang bagus untuk pundi kencing seperti air, jus epal, anggur dan cranberi.

Bersiap-sedia

Kelemahan pundi kencing melibatkan satu daripada empat wanita. Ini bermaksud anda tidak keseorangan jika menderita akibat masalah ini.

Cuba pergi ke tandas secara kerap untuk mengelak pundi kencing menjadi cepat penuh. Juga, gunakan pelapik seluar dalam atau tuala wanita ketika hari-hari aktif di mana anda tahu sukar untuk pergi ke tandas.

Sentiasa bersiap-sedia boleh memberi anda keyakinan sepanjang hari.

Sumber:Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Demi Masa