Photobucket

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selasa, 15 September 2009

MUHASABAH RAMADHAN

Terlalu banyak kelebihan Ramadan yang boleh kita semua insafi. Sifat bersedekah, memberi serta menginsafi akan keperitan orang lain akan sentiasa menjadi tema Ramadan.

Justeru, semangat Ramadan seharusnya mendorong kita supaya berfikir ke arah perubahan diri yang fitrah.

Pada bulan ini, Allah melimpahkan kasih sayangnya pada kaum Mukmin. Allah mengajar kita akan erti lapar dan dahaga supaya menginsafi penderitaan golongan fakir dan tumbuh rasa sayang pada mereka yang sentiasa bersahabat dengan lapar dahaga.

Pada bulan ini jugalah, sifat keinsafan dan kasih sayang sesama manusia dizahirkan dengan perbuatan sedekah dan zakat fitrah. Membantu meringankan beban dan kesusahan orang yang memerlukan menjadikan seseorang itu bersyukur dengan rezeki yang diterimanya.

Bayangkan juga kegembiraan orang yang dibantu. Di kala dalam kesusahan dan keperitan, masih terdapat lagi golongan yang mengambil berat akan kebajikan mereka.

Allah telah mendidik hati dan nafsu untuk mengunci diri daripada melakukan perbuatan dan amalan yang tidak baik. Manusia secara tidak langsung dididik menjadi komited dan amanah terhadap tanggungjawab.

Apakah yang mendorong manusia untuk menahan lapar dan tidak curi-curi makan atau tidak melakukan perbuatan yang tidak baik pada bulan Ramadan? Tentulah kerana dalam fitrah remaja itu sendiri mempunyai asas iman, memegang amanah dan mempunyai ketakwaan kepada Allah.

Jika asas-asas fitrah ini tiada, bayangkan betapa banyak kerosakan yang boleh dilakukan dalam segi yang lain. Jika ini diterjemahkan dalam kehidupan seorang remaja, tentulah ia akan melahirkan generasi yang rosak akhlak serta tidak beramanah.

Kualiti manusia bukan sahaja diukur daripada ketinggian ilmu pengetahuannya serta darjatnya semata-mata, tetapi sejauh mana keikhlasan terhadap amanah yang diberikan kepadanya serta ketakwaan kepada Allah. Maka inilah yang dikatakan mencapai matlamat puasa yang sebenarnya, iaitu meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Oleh itu, bermuhasabahlah kita seusai Ramadan. Kita bakal selesaikan 30 hari yang penuh dengan ibadat dan kesucian. Kita akan tinggalkan bulan yang bukan sahaja dipenuhi ibadah kepada Allah, tetapi juga bulan ketika kita menaburkan kasih sayang sesama hamba Allah yang lain.

Semangat Ramadan harus mampu membina azam dan tekad yang tinggi dalam diri setiap muslim untuk kembali kepada fitrah diri iaitu kembali kepada kehidupan yang baik dan sempurna dalam lingkungan adab dan syarak.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Demi Masa